Emelkan Sebarang Pertanyaan Ke: ABC2109@moe.edu.my

Sejarah Sekolah SJK(C) Pasir Pinji 1

SJK(C) Pasir Pinji 1 telah ditubuhkan pada tahun 1939 di Pasir Putih Baru. Pada tahun 1941, sekolah ini terpaksa ditutup kerana pemerintahan Jepun pada masa itu, dan kemudian dibuka semula pada tahun 1946. Pada tahun 1952, kerajaan pada ketika itu telah mengarahkan sekolah ini berpindah ke Kampong Baru Pasir Pinji dan ditukarkan namanya kepada “Pasir Pinji Public School”.

Pada tahun 1958, Jabatan Pendidikan telah mengarahkan supaya nama sekolah ditukarkan kepada “Pasir Pinji Standard Type Primary School”. Jumlah murid pada masa itu seramai 1571 orang. Pada tahun yang seterusnya sekolah ini dapat menerima bantuan penuh dari Jabatan Pendidikan Negeri. Pada tahun 1961, nama sekolah ini ditukar sekali lagi menjadi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (China) Pasir Pinji, Ipoh. Pengerusi Lembaga Pengurus pada masa itu ialah En. Ferng Chou Lan PJK.

Pada tahun 1962, sesi pagi dan sesi petang sekolah ini telah didaftarkan berasingan dan dijadikan dua buah sekolah, iaitu SRJK(C) Pasir Pinji 1 dan SRJK (C) Pasir Pinji 2. Guru Besar SRJK (C) Pasir Pinji 1 pada masa itu ialah En. Yee Poh Wai. Pada tahun 1967, taraf sekolah ini telah menurun dari Gred A ke Gred B. Setelah berkhidmat selama 30 tahun di sekolah ini, En. Yee Poh Wai bersara pada tahun 1973, dan En. Wong Chong Wah dilantik menjawat jawatan Guru Besar sekolah ini. Pada tahun ini juga, Persatuan Ibubapa dan Guru-Guru (PIBG) telah ditubuhkan dengan En. Hooi Kam Chin sebagai Pengerusi PIBG yang pertamanya.

Dengan usaha bersama Lembaga Pengurus dan PIBG banyak aktiviti telah dijalankan di antara tahun 1976 hingga 1978. Kemudahan sekolah telah dipertingkatkan dengan pembinaan sebuah perpustakaan baru. Pancaragam Sekolah juga ditubuhkan pada tahun 1978. Dalam tahun yang sama, Rancangan Pembinaan Bangunan Sekolah Baru telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan. Bangunan 3 tingkat itu mengandungi 14 buah bilik darjah yang serba lengkap dengan kemudahan asas. Pada tahun 1982, bangunan baru itu telah siap pembinaannya dan kemudiannya dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Yang Berhormat Dato Chan Siang Sun pada 2.4.1982.

Sekolah ini telah dinaik taraf menjadi sekolah Gred A pada tahun 1984. Guru Besar pada masa itu ialah Encik Yee Sin Choon. Pada tahun 1997, dengan kerjasama Lembaga Pengurus dan PIBG SJK(C) Pasir Pinji 1 dan SJK(C) Pasir Pinji 2, satu projek pembinaan bangunan sekolah baru telah dilancarkan. Kempen kutipan derma telah diadakan dengan sokongan dan bantuan Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur Yang Berhormat Chang Kon You dan Ahli Dewan Undangan Negeri Yang Berhormat Chan Kam. Sebuah bangunan baru yang dilengkapi Bilik Komputer, Bilik Pemulihan dan Bilik Sains telah siap dibina pada tahun 1998, dan dirasmikan pembukaanya pada 16 September 1999 oleh Timbalan Menteri Pendidikan Yang Berhormat Dato Dr. Fong Chan Onn. Guru Besar yang bertugas pada masa itu ialah Pn. Tan Heng Sim.

Pada Jun 2008, Pn. Tan Heng Sim telah ditukarkan ke SJK(C) Kuala Kuang, Chemor dan tempat beliau telah digantikan dengan Pn. Looi Mun Wah. Semasa dibawah pentadbiran Pn. Looi Mun Wah, beberapa pembaharuan telah dilakukan olehnya. Antaranya dengan membina beberapa ruang parkir kenderaan berbumbung untuk kegunaan guru, staf dan pelawat sekolah. Sumbangan terbesar yang telah dilakukan Pn. Looi Mun Wah adalah dengan terbinanya Dewan Serbaguna “Ng Lian Ping” yang berfungsi sebagai tapak perhimpunan dan gelanggang bola keranjang. Selain daripada fungsi asalnya itu, dewan ini juga mampu untuk menjalankan aktiviti kokurikulum, sambutan dan perayaan, serta aktiviti-aktiviti lain yang melibatkan sekolah. Dewan ini adalah sumbangan dari Lembaga Pengelola Sekolah dan PIBG sekolah ini pada ketika itu. Namun pada Oktober 2010 Pn. Looi Mun Wah telah ditukarkan ke SJK(C) Tanah Hitam Chemor.

Tempat beliau telah diisi oleh En. Ha Kwan. Semasa dibawah pentadbiran En. Ha Kwan, prestasi akademik sekolah telah meningkat. Antara sumbangan fizikal yang dilakukan oleh beliau, dengan membuat laluan pejalan kaki bagi murid-murid Tahap 1 untuk memudahkan mereka menaiki tangga. Namun jodoh beliau bersama sekolah ini tidak lama. Beliau telah mendapat arahan pertukaran ke SJK(C) Chong Hwa, Kanthan, Chemor pada September 2011.

Tempat beliau telah diisi oleh guru besar yang baharu iaitu, Pn. Chan Yoke Kheng. Semasa dibawah pentadbiran Pn. Chan Yoke Kheng, banyak perubahan dari segi prasarana sekolah telah dibangunkan. Antaranya adalah Pejabat Sekolah serta Bilik Penolong Kanan, dan Bilik Guru yang telah dilengkapi dengan sistem penghawa dingin. Tempat Penolong Kanan yang pada asalnya ditempatkan bersama bilik guru telah di asingkan dan diletakkan didalam bilik khas iaitu, Bilik Penolong Kanan yang menempatkan ketiga-tiga Penolong Kanan. Semua naik taraf ini telah siap sepenuhnya pada 10 Jun 2012. Ianya adalah sumbangan dari Lembaga Pengelola Sekolah yang terajui oleh En. Yap Kien Seng. Dari segi perkembangan ICT, PIBG sekolah ini telah menyumbangkan 8 buah komputer baru yang terkini untuk kegunaan Guru Besar, Pembantu Tadbir, guru-guru, dan kesemua Penolong Kanan pada 17 Julai 2012. PIBG pada ketika itu diterajui oleh En. Lee Chee Hoh AMP. Selain daripada itu, pihak Lembaga Pengelola Sekolah dan Pihak PIBG sekolah telah bersama-samamenganjurkan lawatan ke Negara Thailand bersama-sama 13 orang guru pada 28-29 Julai 2012 sempena sambutan Hari Guru bagi tahun 2012. Disamping itu juga, pihak PIBG telah bersetuju untuk menaik taraf sistem siaraya bagi Dewan Serbaguna “Ng Lian Ping”. Naik taraf sistem siaraya ini siap sepenuhnya pada 13 Ogos 2012.

Karnival Sin Chew yang telah dirancang sejak dari awal tahun telah pun berlangsung pada 16 September 2012. Karnival ini yang lebih dikenali sebagai Karnival 916 adalah anjuran bersama Sin Chew Daily bersama 2 buah sekolah iaitu sekolah ini dan SJK(C) Pasir Pinji 2. Sebanyak RM100,124.30 telah berjaya dikutip semasa karnival tersebut. Pesta Tanglung juga telah diadakan pada tahun ini iaitu pada 28 September 2012. Semasa cuti penggal persekolahan akhir tahun 2012, Prasekolah SJK(C) Pasir Pinji 1 telah dinaiktaraf dengan penambahan ruang Pengajaran Dan Pembelajaran. Ruang tersebut telah dinaikkan dinding batu separuh, dan ditutup dengan jeriji besi dari dinding tersebut terus ke bumbung. Ruang tersebut telah diletakkan 3 buah meja panjang, 3 buah kipas siling, dan 2 buah sinki. Ini semua adalah sumbangan dari Lembaga Pengelola sekolah. Mereka juga berbesar hati menambah kipas di Dewan Serbaguna dan menambahkan lagi bumbung diantara Dewan Serbaguna dan kantin.

Pada 9 April 2013 lebih kurang 6.30 petang, berlaku sedikit kebakaran pada suis utama Prasekolah SJK(C) Pasir Pinji 1. Tindakan pantas Pengawal Keselamatan ketika itu. Pn. Zurita, berjaya mengawal keadaan dari terus terbakar. Pada Hari Kanak-Kanak tahun 2013, En. Ng Ling Pin PPT telah menyumbangkan sebanyak RM20,000.00 secara fixed deposit kepada sekolah. Namun, hanya faedah yang akan digunakan setiap tahun sebagai perbelanjaan Hari Kanak-Kanak.

Penafian

Pihak SJK(C) Pasir Pinji 1, Ipoh tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam portal ini.



Notis Hak cipta

Semua Hakcipta Terpelihara. Sebarang salinan perlu mendapat keizinan dari pihak sekolah.

Hubungi Kami

SJK(C) Pasir Pinji 1,
Jalan Padang, Pasir Pinji,
31650 Ipoh,Perak.
Emel : abc2109@1bestarinet.yes.my
Telefon / Faks : +6053211735

Waktu Pejabat
Isnin-Khamis
08:00 - 13:00 & 14:00 - 17:00
Jumaat
08:00 - 12:15 & 14:45 - 17:00