Emelkan Sebarang Pertanyaan Ke: ABC2109@moe.edu.my

Majlis Persaraan Guru & Perpisahan Murid Tahun 6 Kali Ke-59

Pada 15 November 2011, telah diadakan majlis sempena persaraan 2 orang guru, iaitu Pn. Ramlah Bt. Nordin dan Cik Ho Swee Ping, serta Majlis Perpisahan Murid-Murid Tahun 6 bagi tahun ini buat kali yang ke-59. Majlis pada pagi itu dimulakan dengan Majlis Persaraan bagi kedua-dua orang guru tersebut dan kemudiannya Majlis Perpisahan buat murid-murid Tahun 6.

Buat kedua-dua orang guru tersebut, Selamat Bersara kami ucapkan dari seluruh warga SJK(C) Pasir Pinji 1. Kepada murid-murid Tahun 6 pula, selamat menempuh alam persekolahan di sekolah menengah pada tahun hadapan. Semoga terus berjaya.



Lagi gambar KLIK SINI.

0 komen:

Video Persaraan Pn. Ramlah Bt. Nordin

0 komen:

Sambutan Hari Kanak-Kanak SJK(C) Pasir Pinji 1 2011

Pada hari Jumaat, 28 Oktober 2011 yang lalu, telah berlangsung Sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat sekolah disini. Ianya berlangsung dengan begitu meriah sekali. Banyak sumbangan yang telah disumbangkan oleh para dermawan dan juga ibubapa murid di sekolah ini. Pada hari itu juga, turut di adakan Majlis Anugerah Cemerlang buat murid-murid yang berjaya dalam peperiksaan akhir tahun. Begitu juga dengan murid-murid yang telah menunjukkan peningkatan cemerlang dalam aktiviti kokurikulum, mereka telah diberi penghargaan pada hari tersebut.

Semua hadiah telah disampaikan oleh Anggota-Anggota Lembaga Pengurus sekolah ini.


Lagi gambar KLIK SINI.

0 komen:

Sambutan Hari Kanak-Kanak SJK(C) Pasir Pinji 1

0 komen:

Persembahan Murid Pada Hari Kanak-Kanak

0 komen:

Selamat Datang

SJK(C) Pasir Pinji 1 ingin mengucapkan Selamat Datang dan Selamat Bertugas kepada Guru Besar yang baru sekolah ini iaitu, Pn. Chan Yoke Kheng. Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Guru Besar di SJK(C) Man Ming, Gopeng, dan telah bertukar masuk ke sekolah ini berkuatkuasa pada 16 September 2011.

Kami, seluruh warga SJK(C) Pasir Pinji 1 mengalu-alukan kedatangan Guru Besar baru ini.

Semoga beliau dapat menjalankan tugas di tempat baru ini dengan sebaiknya.

0 komen:

Perpindahan Guru Besar Dan Kenaikan Pangkat Penolong Kanan HEM

En. Ha Kwan
Adalah dimaklumkan bahawa Guru Besar sekolah kita, En. Ha Kwan, akan bertukar ke SJK(C) Chong Hwa, Kanthan Baru, Chemor berkuatkuasa 16 September 2011.

Cik Lee Wai Men
Begitu juga dengan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Cik Lee Wai Men, yang telah dinaikkan pangkat sebagai Guru Besar dan di tempatkan di SJK(C) Khai Meng, Sungkai, Perak.

Pihak sekolah amat terkejut dengan berita ini, namun apakan daya, setiap pertemuan akan pasti ada perpisahan. Kita mengharapkan, semoga mereka berdua berjaya dan terus cemerlang di tempat baru itu nanti. Di sini disertakan pantun khas buat mereka berdua.

Kalau tidak kerana unggas,
Tidaklah rosak padi disawah,
Kalaulah tidak kerana tugas,
Tidaklah kita akan berpisah.

Tanam lenggun tumbuh kelapa,
Terbit bunga pucuk mati;
Budi tuan puan kami tak lupa,
Sudah terpahat di dalam hati.

Buah pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Walau jauh beribu batu,
Hilang di mata di hati jangan.

0 komen:

Perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 Tahun 2011

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam 1Malaysia.

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Illahi, kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-54 dengan penuh kebanggaan. Dengan nikmat kemerdekaan ini, kita berjaya memajukan negara dan menempa pelbagai kejayaan sebagai bangsa yang merdeka.  Kini, Malaysia telah membangun dengan pesat serta mendapat pengiktirafan dunia sebagai sebuah negara yang paling maju dalam kelompok negara-negara membangun.

Namun begitu, perlu kita insaf bahawa kemerdekaan yang dikecapi ini adalah hasil perjuangan wira-wira negara. Oleh itu, menjadi suatu kemestian kepada kita, khususnya generasi muda memajukan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan mengamalkan nilai-nilai murni bagi mengupayakan kita memelihara dan mengisi kemerdekaan ini. Yang lebih penting ialah kita mampu mempertahankan kemerdekaan negara ini daripada anasir-anasir jahat yang cuba untuk menjejaskan kesejahteraan negara.

Warga pendidikan yang dikasihi,
Bersesuaian dengan tema hari kemerdekaan pada tahun ini, 1Malaysia: Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera saya menyeru semua warga pendidikan berazam untuk membuat anjakan paradigma ke arah kecemerlangan dan kesejahteraan. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran, mempunyai sahsiah diri terpuji serta jati diri yang teguh untuk menjadi insan berkualiti yang dapat menjana kecemerlangan dan memberi sumbangan kepada diri, keluarga, bangsa dan negara. Oleh itu, marilah kita berubah ke arah yang lebih positif untuk kebaikan bersama-sama.

Kemerdekaan yang dikecapi kini dapat dikekal melalui perpaduan kaum menerusi konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak.  1Malaysia adalah satu gagasan yang memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum bagi menjamin kestabilan, melonjakkan kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia.  Dalam erti kata lain, 1Malaysia merupakan satu formula untuk memastikan aspirasi negara, iaitu Wawasan 2020 tercapai dan dapat diterapkan ke dalam sanubari rakyat serta diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.

1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Teras perpaduan ini didukungi oleh nilai-nilai murni yang dititikberatkan dalam sistem pendidikan negara. Semoga usaha ini dapat menjadikan nilai-nilai murni akan mendasari cara hidup rakyat Malaysia.

Warga pendidikan yang dirahmati,
Murid-murid patut berusaha untuk meningkatkan amalan saling menghormati dan berbudi bahasa dalam menjalingkan hubungan sesama rakan. Manakala para guru perlu lebih komited terhadap peranan mereka untuk membentuk perpaduan di negara ini. Oleh itu,  para guru dan murid perlu memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dengan berkesan dalam usaha untuk merealisasikan perpaduan di negara ini terus mantap dari masa ke semasa.

Nilai-nilai aspirasi seperti budaya berprestasi tinggi, budaya ilmu, budaya inovasi dan kebijaksanaan haruslah diperkasakan di sekolah. Usaha ini untuk menjana transformasi bagi melahirkan masyarakat  dinamik yang akan memacu kemajuan negara. Malah, nilai-nilai aspirasi ini akan mewujudkan tenaga kerja yang berdaya maju dan mampu bersaing dalam persekitaran global. Seterusnya dapat membantu melonjakkan kedudukan ekonomi negara ke tahap yang lebih kukuh dan mantap.

Seterusnya, Kementerian Pelajaran Malaysia, merupakan organisasi yang terlibat secara langsung dalam pembangunan modal insan negara. Justeru, kementerian ini sentiasa komited bagi memupuk minat dan kecenderungan murid dalam bidang kokurikulum. Antara langkah yang diambil bagi memastikan usaha ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, maka diperkenalkan Dasar 1Murid 1Sukan. Tujuannya adalah untuk memastikan penglibatan setiap murid dalam aktiviti sukan di sekolah serta mengembalikan sekolah sebagai institusi utama untuk melahirkan bakat-bakat sukan dari peringkat akar umbi.  Melalui kegiatan ini, murid bukan sahaja dapat menambah ilmu dan kemahiran malahan dapat meningkatkan kemahiran sosial  dan daya kepimpinan mereka.  Saya berharap dasar ini akan diberikan perhatian serius oleh semua pihak dan dilaksanakan secara sistematik dan berkesan.


Seterusnya warga pendidik diharap dapat berusaha mempraktikkan budaya kerja yang efektif dan mengamalkan cara berfikir secara rasional. Apabila berfikir secara rasional,  sesuatu tindakan yang diambil akan memberi kebaikan kepada diri sendiri, organisasi dan negara.  Gunakanlah ilmu pengetahuan dan akal yang bijak untuk kita melaksanakan segala tanggungjawab, peranan dan tugas dengan berkesan.  Janganlah bertindak membuta tuli kerana ikut rasa binasa, ikut hati mati dan ikut nafsu lesu.

Warga pendidikan sekalian,


Akhir kata, sempena sambutan Hari Kemerdekaan ini, marilah kita bersama-sama menghayati tema Hari Kemerdekaan ini, `1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera’ dan memperkasakan tekad untuk menempuh segala rintangan bersama-sama di negara yang kita cintai ini.

MERDEKA…MERDEKA…MERDEKA…
Sekian.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabaratuh

Diterbitkan Oleh: Bahagian Kokurikulum & Kesenian
Sumber : Facebook KPM

0 komen:

Jadual Peperiksaan UPSR 2011

Disini disertakan Jadual Peperiksaan UPSR bertulis 2011 bermula 13 september 2011 sehingga 15 september 2011.

SELASA 13 September 2011
08:15 pagi — 09:05 pagi – Bahasa Melayu Pemahaman
09:45 pagi — 11:00 pagi – Bahasa Melayu Penulisan
11:45 pagi — 12:25 tengah hari – Matematik Kertas 2

RABU 14 September 2011
08:15 pagi — 09:15 pagi – Matematik Kertas 1
9.55 pagi — 10.45 pag –Bahasa Cina Pemahaman
11.45 pagi — 1.00 petang –Bahasa Cina Penulisan

KHAMIS 15 September 2011
08:15 pagi — 09:30 pagi – Sains
10:15 pagi — 11:05 pagi – Bahasa Inggeris Kertas 1
11:45 pagi — 01:00 petang – Bahasa Inggeris Kertas 2
2.30 petang — 4.00 petang – Ujian Aptitud Tahun Enam (SJKC)

0 komen:

Tips Belajar Saat-Saat Akhir


Salam kepada semua pelawat Portal SJK(C) Pasir Pinji 1, di sini terdapat beberapa tip sebagai persediaan menghadapi peperiksaan khususnya bagi murid-murid yang akan mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi. Kami percaya disaat ini murid-murid bertungkus-lumus mengulangkaji pelajaran dan membuat persediaan untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti. Di sini kami ingin berkongsi dengan murid-murid sekalian terdapat beberapa tip sebagai persediaan menghadapi peperiksaan yang bakal dihadapi nanti.

Bertenang dan jangan cemas
Anda perlu bertenang dan jangan cemas. Tiada faedah yang akan diperolehi sekiranya anda cemas keterlaluan. Belajar disaat akhir juga memerlukan strategi yang betul. Ini kerana masa yang anda terhad. Selepas bertenang buat penilaian apa tindakan yang akan diambil seterusnya. Rancang tindakan akan akan diambil dan disiplinkan diri untuk mengikut perancangan yang dibuat.

Beri tumpuan lebih terhadap pembelajaran
Letakkan seluruh tumpuan fikiran anda kepada proses pembelajaran yang anda lakukan. Jangan terlalu memikirkan bahawa anda kesuntukan masa. Hafal perkara yang sepatutnya dihafal seperti biasa dan jangan melengah-lengahkan masa belajar.
Meskipun anda cuba mengenepikan ketakutan dan kegelisahan yang anda alami itu, tetapi lama-kelamaan perasaan itu akan datang semula. Sekiranya hal ini berlaku, cuba alihkan diri anda dari tempat belajar untuk melakukan senaman ringan seperti berdiri sambil menarik dan melepaskan nafas panjang-panjang secara perlahan-lahan beberapa kali. Kemudian duduk semula dan cuba teruskan pembelajaran anda. Cara ini sekurang-kurangnya akan dapat mengurangkan perasaan anda yang tidak tenteram itu.

Yakin terhadap kebolehan diri
Selalu tanamkan dalam diri anda bahawa “saya boleh” dan tulis besar-besar dan terang dan letakkan di hadapan anda (di tempat anda belajar). Tiap-tiap kali anda melihat kad itu anda yakin bahawa anda boleh berjaya. Sekiranya anda dapat menanamkan dalam diri anda bahawa anda bekeyakinan penuh boleh melakukan, maka secara sepontan anda berusaha bersungguh-sungguh dan mental anda dapat berfikir ke arah kejayaan dan apa-apa yang anda cita-citakan selama ini akan membuahkan kejayaan yang membanggakan.

Masa rehat perlu secukupnya
Semasa belajar anda berasa cepat letih, sama ada dari segi fizikal atau mental. Ambil masa untuk otak anda berehat sepenuhnya. Anda juga digalakkan bangun dan cuba berjalan-jalan sebentar dan setelah merasakan kelegaan barulah anda menyambung semula pembelajaran anda.

Hapuskan tabiat suka tidur
Sebaiknya para pelajar tidak terlalu melayan keinginan untuk tidur dari belajar. Kurangkan waktu tidur anda demi meraih satu kejayaan. Gunakan lebih banyak masa mengulangkaji pelajaran di samping melakukan latihan-latihan sendiri supaya anda berkeyakinan. Jadualkan masa tidur anda supaya anda tidak terlebih tidur. Sekiranya anda hendak tidur beberapa jam, anda pelu mengunci jam dan letakkan jam loceng berhampiran anda supaya anda terjaga pada waktu yang dikehendaki.
Masa-masa beginilah yang paling sesuai agar tidak akan diganggu. Penumpuan tenaga dan fikiran terhadap pembelajaran juga akan menjadi mudah. Keadaan ini tidak mendatangkan masalah kerana kajian yang pernah dibuat menunjukkan bahawa kecerdasan berfikir dan keupayaan membuat keputusan tidak terjejas berikutan dengan pengurangan waktu tidur yang dilakukan.
Tidur merupakan waktu rehat yang paling baik dalam persediaan menghadapi peperiksaan. Tetapi ramai pelajar membawa masalah pelajaran ke tempat tidur dan memikirkan pelbagai perkara tentang masalah ini. Akibatnya mereka mengalami gangguan tidur dan ada yang tidak dapat tidur langsung. Pada keesokan harinya, pelbagai perkara akan berlaku seperti berasa pening, tidak selesa dan tidak tenteram kerana ketegangan fikiran dan kelesuan tubuh badan. Ini boleh menjejaskan prestasi mereka pada hari peperiksaan. Sekiranya mereka terpaksa menghadapi peperiksaan pada hari itu, mungkin mereka tidak dapat berfikir dengan tenang seterusnya akan menjejaskan ketepatan jawapan yang diberikan.

Jangan mengambil sebarang ubat yang meragukan
Pengambilan sebarang ubat mengganggu sistem saraf dan menyebabkan keadaan menjadi tegang dan mudah terangsang. Anda tidak perlu lagi mengambil sebarang pil peransang atau ubat-ubatan yang diragukan kesahihannya untuk mencegah tidur. Dapatkan nasihat doktor sekiranya anda hendak mengambil pil-pil sedemikian. Jangan sesekali bertindak sendirian. Ini akan membahayakan anda.
Ubat peransang menyebabkan keletihan yang melampau. Ubat peransang sedemikian mematikan segala perasaan dan keinginan. Melalui ubat-ubat seperti ini, anda mungkin tidak dapat mengesan keletihan yang melampau secara terus. Ubat-ubat ini meransang anda untuk terus belajar tanpa rasa keletihan tetapi kesan yang bakal diterima menjadi lebih buruk setelah habis belajar.
Selain itu, elakkan juga dari meminum minuman berkafein seperti kopi atau teh yang berlebihan. Kesannya sama seperti memakan pil peransang yang menyebabkan kesan-kesan negatif seperti tangan menggeletar, tumpuan terjejas. Dalam keadaan yang tertentu mungkin menyebabkan lupa selain daripada kesan-kesan negatif yang lain. Seeloknya untuk mengawal rasa mengantuk, amalkan meminum lobak susu kerana ia akan mencergaskan lagi otak untuk berfikir.

Beri tumpuan lebih kepada bab yang penting
Dalam keadaan sebegini, anda hanya sempat mempelajari bahagian-bahagian yang penting sahaja. Jangan beri tumpuan berlebihan kepada bahagian-bahagian yang kurang penting. Cuba pilih lima atau enam isi penting daripada satu-satu bahagian dan tuliskan isi-isi penting ini di atas kertas dan cuba ingat serta hafalkan. Anda tidak mempunyai masa yang cukup untuk mempelajari butir-butir yang kurang penting. Banyakkan membuat soalan-soalan tahun lepas yang sering keluar sebagai latihan dapat membantu anda menumpukan bahagian yang patut dipelajari terlebih dahulu. Cuba pilih soalan-soalan yang mesti dijawab dan sediakan sekuarng-kurangnya enam atau tujuh isi dari setiap soalan yang anda pilih.

Sumber : Wikibooks

0 komen:

Majlis Sukaneka Prasekolah SJK(C) Pasir Pinji 1

Majlis sukaneka ini dikelolakan oleh guru Prasekolah iaitu Pn. Teoh Gek Tiang, dan 2 orang Guru Praktikal iaitu Cik Moy Kar Mun dan Cik Lee Ching Theng serta Pembantu Pengurusan Murid Prasekolah iaitu Pn. Hasliza Bt. Ramli.

Sukaneka ini telah diadakan pada 6 September 2011 iaitu pada hari Selasa bertempat di Padang dan Dewan Serbaguna SJK(C) Pasir Pinji 1. Acara dimulakan dengan Majlis Perasmian yang disempurnakan oleh Guru Besar SJK(C) Pasir Pinji 1, En. Ha Kwan.

Berikut disenaraikan acara-acara yang dijalankan dalam sukaneka tersebut.

1.    Tiup bola pingpong dalam tepung.
2.    Lari membawa bola dalam senduk.
3.    Isi air dalam botol menggunakan span.
4.    Mencari bongkah kayu dalam kolam air.
5.    Rebut hadiah.

Setelah semua acara selesai, majlis diteruskan dengan acara penutup yang juga disempurnakan oleh Guru Besar SJK(C) Pasir Pinji 1, En. Ha Kwan.




Lagi gambar KLIK SINI.

0 komen:

Permohonan Pertukaran Guru Antara Negeri, Antara Daerah, Dan Dalam Daerah Januari 2012

Pekeliling KP(BPSH-SPSM) 301/01/01/Jld.6(12) bertarikh 28 Julai 2011 adalah dirujuk.

2. Sukacita dimaklumkan bahawa Permohonan Pertukaran Guru Antara Negeri, Antara Daerah dan Dalam Daerah Bagi Pertukaran Januari 2012 melalui sistem e-GTukar telah dibuka mulai 01 hingga 30 September 2011. Pemohon boleh mengakses aplikasi e-GTukar ini melalui laman web Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) seperti berikut: http://apps.moe.gov.my/epgo

3. Permohonan secara on-line ini dibuka kepada guru Gred DGA 29, DG 41, DGA 32 (KUP time based), DG 44 (KUP time based) dan DG 48 (KUP time based) sahaja serta mematuhi garis panduan pertukaran guru seperti yang dinyatakan dalam surat siaran KP/KPPM/5(11) bertarikh 10 Mac 2010. Sila rujuk pekeliling KP(BPSH-SPSM) 301/01/01/Jld.6(12) bertarikh 28 Julai 2011 yang telah diedarkan oleh JPN Perak ke semua sekolah untuk maklumat lanjut.

Sekian, terima kasih dan harap maklum.

0 komen:

Sambutan Kemerdekaan Peringkat Sekolah



Baru-baru ini, SJK(C) Pasir Pinji 1 telah mengadakan Sambutan Hari Kemerdekaan sempena Ulangtahun Kemerdekaan yang Ke-54. Sambutan yang bertujuan memupuk semangat cinta akan negara kepada warga sekolah ini berjaya diadakan dengan meriah. Sambutan yang diadakan pada pagi Jumaat 26 Ogos 2011 lalu telah disertai oleh seluruh warga sekolah termasuk guru-guru dan para pelajar.

Pengacara majlis bagi sambutan Hari Kemerdekaan pada pagi itu adalah Pn. Goh Kim Chiok. Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku. Setelah itu, ucapan dari En. Ha Kwan selaku Guru Besar sekolah ini. Acara diteruskan lagi dengan nyanyian lagu 1 Malaysia, Jalur Gemilang dan lagu tema Hari Kemerdekaan pada tahun ini iaitu, “Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera”.

Acara kemuncak pada pagi itu adalah laungan MERDEKA sebanyak 7 kali yang di laungkan oleh En. Wong Chun Fatt. Sambutan diakhiri dengan bacaan Rukunegara yang diketuai oleh Guru Besar secara beramai-ramai bersama semua warga sekolah.

Lagi gambar Klik Sini.

0 komen:

Logo, Tema Dan Video Beserta Lirik Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-54 2011


TRANSFORMASI BERJAYA, RAKYAT SEJAHTERA

(Rangkap 1)
Kemakmuran Kedamaian Terus Dinikmati
Kejayaan Kemasyuran Sama Dirasai
Ayuhlah Kita
Merealisasikannya
Kitalah Pemangkin (Kitalah Pemangkin)
Transformasi Negara

(Rangkap 2)
Transformasi Berjaya
Rakyat Sejahtera
Kita Bersatu Melangkah
Bergandingan Bersama
Rakyat Didahulukan
Pencapaian Diutamakan
Kita Satu Malaysia

0 komen:

1Malaysia : Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera

Begitulah tema sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-54 pada tahun ini.
Sambutan Hari Kemerdekaan Negara kita, Malaysia biasanya disambut pada 31 Ogos setiap tahun. Namun sambutan Hari Kemerdekaan Ke-54 pada tahun 2011 ini akan ditunda kepada tarikh 16 September yang diadakan serentak dengan Hari Malaysia.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, keputusan itu dibuat berikutan tarikh kemerdekaan kali ini jatuh pada penghujung Ramadan.

Fokus utama sambutan hari kebangsaan 2011 ini adalah pada pengibaran jalur gemilang pada premis dan bangunan supaya semua orang dapat menghayati erti kemerdekaan.

Jadi, bersama - sama lah kita menghayati Hari Kemerdekaan 2011 nanti. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan!

0 komen:

Percubaan UPSR 2011


Semoga Berjaya buat murid-murid Tahun 6 SJK(C) Pasir Pinji 1 yang sedang menduduki Peperiksaan Percubaan UPSR 2011. Berikut adalah Jadual Waktu bagi peperiksaan tersebut.

16 Ogos 2011
7.45 am - 8.35 am - BAHASA MALAYSIA (Pemahaman)
8.50 am - 10.05 am - BAHASA MALAYSIA (Penulisan)
11.40 am - 12.20 pm - MATEMATIK (Kertas II)

18 Ogos 2011
7.45 am - 8.35 am - MATEMATIK (Kertas I)
9.00 am - 9.50 am - BAHASA CINA (Pemahaman)
11.00 am - 12.15 pm - BAHASA CINA (Penulisan)

19 Ogos 2011
7.45 am - 9.00 am - SAINS
9.15 am - 10.05 am - BAHASA INGGERIS (Kertas I)
11.00 am - 12.15 pm - BAHASA INGGERIS (Kertas II)

0 komen:

Sekapur Sirih Seulas Pinang


Bersyukur kepada Tuhan kerana blog SJK(C) Pasir Pinji 1 ini dapat dilancarkan dengan jayanya.

Sekalung penghargaan kepada pasukan pembina blog ini yang terdiri daripada Juruteknik Komputer dan Guru ICT juga para guru SJK(C) Pasir Pinji 1 yang memungkinkan kelahiran blog SJK(C) Pasir Pinji 1 ini.

Adalah diharapkan blog ini dapat dimanfaatkan semaksimum mungkin oleh para guru dan murid terutama untuk orang-orang awam yang lain sebagai wadah penyaluran maklumat dan perkongsian ilmu. Seiring ledakan teknologi maklumat dan komunikasi, blog ini juga seharusnya dilihat sebagai agen penyumbang dan kelahiran blog ini menjadi langkah awal pembabitan SJK(C) Pasir Pinji 1 secara serius perkembangan teknologi.

Walaubagaimanapun, sebagai hasil sulung Blog SJK(C) Pasir Pinji 1 ini perlu kepada komen dan cadangan daripada khalayak. Sebarang komen dan cadangan amat dialu-alukan untuk dikirim melalui emel pinji1@yahoo.com. Semoga komen dan cadangan ini dapat membantu demi meningkatkan keberkesanan blog ini.

Akhir kata, semoga slogan "Berusaha, Berdisiplin & Berjaya" dapat direalisasikan.

Ha Kwan
Guru Besar SJK(C) Pasir Pinji 1

0 komen:

Penafian

Pihak SJK(C) Pasir Pinji 1, Ipoh tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam portal ini.



Notis Hak cipta

Semua Hakcipta Terpelihara. Sebarang salinan perlu mendapat keizinan dari pihak sekolah.

Hubungi Kami

SJK(C) Pasir Pinji 1,
Jalan Padang, Pasir Pinji,
31650 Ipoh,Perak.
Emel : abc2109@1bestarinet.yes.my
Telefon / Faks : +6053211735

Waktu Pejabat
Isnin-Khamis
08:00 - 13:00 & 14:00 - 17:00
Jumaat
08:00 - 12:15 & 14:45 - 17:00