Emelkan Sebarang Pertanyaan Ke: ABC2109@moe.edu.my

Perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 Tahun 2011

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam 1Malaysia.

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Illahi, kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-54 dengan penuh kebanggaan. Dengan nikmat kemerdekaan ini, kita berjaya memajukan negara dan menempa pelbagai kejayaan sebagai bangsa yang merdeka.  Kini, Malaysia telah membangun dengan pesat serta mendapat pengiktirafan dunia sebagai sebuah negara yang paling maju dalam kelompok negara-negara membangun.

Namun begitu, perlu kita insaf bahawa kemerdekaan yang dikecapi ini adalah hasil perjuangan wira-wira negara. Oleh itu, menjadi suatu kemestian kepada kita, khususnya generasi muda memajukan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan mengamalkan nilai-nilai murni bagi mengupayakan kita memelihara dan mengisi kemerdekaan ini. Yang lebih penting ialah kita mampu mempertahankan kemerdekaan negara ini daripada anasir-anasir jahat yang cuba untuk menjejaskan kesejahteraan negara.

Warga pendidikan yang dikasihi,
Bersesuaian dengan tema hari kemerdekaan pada tahun ini, 1Malaysia: Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera saya menyeru semua warga pendidikan berazam untuk membuat anjakan paradigma ke arah kecemerlangan dan kesejahteraan. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran, mempunyai sahsiah diri terpuji serta jati diri yang teguh untuk menjadi insan berkualiti yang dapat menjana kecemerlangan dan memberi sumbangan kepada diri, keluarga, bangsa dan negara. Oleh itu, marilah kita berubah ke arah yang lebih positif untuk kebaikan bersama-sama.

Kemerdekaan yang dikecapi kini dapat dikekal melalui perpaduan kaum menerusi konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak.  1Malaysia adalah satu gagasan yang memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum bagi menjamin kestabilan, melonjakkan kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia.  Dalam erti kata lain, 1Malaysia merupakan satu formula untuk memastikan aspirasi negara, iaitu Wawasan 2020 tercapai dan dapat diterapkan ke dalam sanubari rakyat serta diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.

1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Teras perpaduan ini didukungi oleh nilai-nilai murni yang dititikberatkan dalam sistem pendidikan negara. Semoga usaha ini dapat menjadikan nilai-nilai murni akan mendasari cara hidup rakyat Malaysia.

Warga pendidikan yang dirahmati,
Murid-murid patut berusaha untuk meningkatkan amalan saling menghormati dan berbudi bahasa dalam menjalingkan hubungan sesama rakan. Manakala para guru perlu lebih komited terhadap peranan mereka untuk membentuk perpaduan di negara ini. Oleh itu,  para guru dan murid perlu memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dengan berkesan dalam usaha untuk merealisasikan perpaduan di negara ini terus mantap dari masa ke semasa.

Nilai-nilai aspirasi seperti budaya berprestasi tinggi, budaya ilmu, budaya inovasi dan kebijaksanaan haruslah diperkasakan di sekolah. Usaha ini untuk menjana transformasi bagi melahirkan masyarakat  dinamik yang akan memacu kemajuan negara. Malah, nilai-nilai aspirasi ini akan mewujudkan tenaga kerja yang berdaya maju dan mampu bersaing dalam persekitaran global. Seterusnya dapat membantu melonjakkan kedudukan ekonomi negara ke tahap yang lebih kukuh dan mantap.

Seterusnya, Kementerian Pelajaran Malaysia, merupakan organisasi yang terlibat secara langsung dalam pembangunan modal insan negara. Justeru, kementerian ini sentiasa komited bagi memupuk minat dan kecenderungan murid dalam bidang kokurikulum. Antara langkah yang diambil bagi memastikan usaha ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, maka diperkenalkan Dasar 1Murid 1Sukan. Tujuannya adalah untuk memastikan penglibatan setiap murid dalam aktiviti sukan di sekolah serta mengembalikan sekolah sebagai institusi utama untuk melahirkan bakat-bakat sukan dari peringkat akar umbi.  Melalui kegiatan ini, murid bukan sahaja dapat menambah ilmu dan kemahiran malahan dapat meningkatkan kemahiran sosial  dan daya kepimpinan mereka.  Saya berharap dasar ini akan diberikan perhatian serius oleh semua pihak dan dilaksanakan secara sistematik dan berkesan.


Seterusnya warga pendidik diharap dapat berusaha mempraktikkan budaya kerja yang efektif dan mengamalkan cara berfikir secara rasional. Apabila berfikir secara rasional,  sesuatu tindakan yang diambil akan memberi kebaikan kepada diri sendiri, organisasi dan negara.  Gunakanlah ilmu pengetahuan dan akal yang bijak untuk kita melaksanakan segala tanggungjawab, peranan dan tugas dengan berkesan.  Janganlah bertindak membuta tuli kerana ikut rasa binasa, ikut hati mati dan ikut nafsu lesu.

Warga pendidikan sekalian,


Akhir kata, sempena sambutan Hari Kemerdekaan ini, marilah kita bersama-sama menghayati tema Hari Kemerdekaan ini, `1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera’ dan memperkasakan tekad untuk menempuh segala rintangan bersama-sama di negara yang kita cintai ini.

MERDEKA…MERDEKA…MERDEKA…
Sekian.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabaratuh

Diterbitkan Oleh: Bahagian Kokurikulum & Kesenian
Sumber : Facebook KPM

0 komen:

Penafian

Pihak SJK(C) Pasir Pinji 1, Ipoh tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam portal ini.



Notis Hak cipta

Semua Hakcipta Terpelihara. Sebarang salinan perlu mendapat keizinan dari pihak sekolah.

Hubungi Kami

SJK(C) Pasir Pinji 1,
Jalan Padang, Pasir Pinji,
31650 Ipoh,Perak.
Emel : abc2109@1bestarinet.yes.my
Telefon / Faks : +6053211735

Waktu Pejabat
Isnin-Khamis
08:00 - 13:00 & 14:00 - 17:00
Jumaat
08:00 - 12:15 & 14:45 - 17:00